Flyover Batu 4, 6 , 7 dan 10 siap Januari 5, 2021

Lo (dua dari kiri) pada parbincangan bersama pegawai-pegawai dari LBU, JKR dan konsultan untuk menyelesaikan kesesakan lalulintas di persimpangan Batu 10 hari ini (Dis 10, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 10: Projek pembinaan empat flyover di Kuching iaitu di persimpangan Batu 4, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10 akan siap sepenuhnya pada Januari 5, 2021.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan(MPP), Lo Khere Chiang berkata jaminan itu diberikan Lebuhraya Borneo Utara (LBU) yang merupakan kontraktor utama Projek Lebuhraya Pan Borneo.


“Dalam tempoh enam bulan dari sekarang, kesemua kerja-kerja yang melibatkan struktur berat akan disiapkan.

“LBU akan menentukan kesemua empat projek flyover ini dilaksanakan mengikut jadual,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Lo telah mengadakan perbincangan berhubung masalah kesesakan lalulintas di persimpangan Batu 10 bersama pegawai-pegawai dari LBU, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsultan berhampiran tapak projek.

Hasil perbincangan, tambah Lo, LBU setuju untuk membuka lorong kedua pada waktu puncak untuk melancarkan pergerakan kenderaan.

“Semasa kerja-kerja pembinaan dilakukan, jalanraya di persimpangan Batu 10 hanya ada satu lorong sahaja dan ini telah menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk.

“LBU bersama kontraktor telah bersetuju untuk mengurangkan kesesakan tersebut dengan membuka lorong kedua pada waktu puncak dan selepas kerja-kerja dihentikan,” katanya.

Lo yang juga ADUN Batu Kitang berkata LBU telah bersetuju untuk membuka lorong kedua bermula jam 7 pagi hingga 8.30 pagi dan dari 4 petang hingga 7 malam.

Namun katanya, lorong kedua tersebut akan sentiasa dibuka jika tiada kerja-kerja dilakukan. — DayakDaily