KUCHING, 18 Julai: Pertandingan tarian tradisional Bidayuh akan membuka tirai Festival Mistik Bidayuh 2022 pada malam 29 Julai ini.
Festival tiga hari anjuran Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) ini yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Julai ini di Dewan Parish Gereja St Paul Bunuk, Jalan Borneo Heights
Menurut pengerusi PSBP Gabriel Michael, pertandingan yang akan berlangsung dari jam 8 malam itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin yang juga merangkap penaung PSBP dan festival berkenaan.
“Pihak penganjur mensasarkan enam kumpulan tarian tradisional dari Padawan, Penrissen, Serian dan Bau akan bersaing bagi merebut hadiah wang tunai bernilai berjumlah RM4,700,” kata Gabriel.
Menurut Gabriel, johan akan pulang dengan hadiah wang tunai RM1,500, piala dan sijil sementara naib johan dan tempat ketiga masing-masingnya akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM800 selain piala dan sijil.
Selain itu, katanya, tujuh hadiah saguhati yang masing-masing bernilai RM200 turut disediakan.
Penyertaan untuk pertandingan ini dibuka sehingga 22 Julai ini, dan mana-mana kumpulan yang berminat untuk menyertainya boleh mendaftar dengan menghubungi Alexson Kuye (Tel: 016 320 0313).
Sementara itu, pada sebelah pagi 30 Julai pula akan berlangsung pertandingan tarian poco-poco yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1,050.
“Pada sebelah malam 30 Julai pula akan berlangsung pertandingan ratu cantik Dayung Remus Festival Mistik Bidayuh 2022, yang akan menyaksikan sepuluh gadis jelita Bidayuh berentap untuk merebut gelaran ratu dan hadiah wang tunai bernilai RM6,400.
“Dua penyanyi popular Bidayuh, iaitu Rozie Mila dan Claudia Geres turut diundang untuk menghibur dan memeriahkan suasana festival, selain persembahan daripada kumpulan penari Freaky 4 Dance yang pernah muncul juara KGT 2017,” katanya.
Gabriel berkata pada malam yang sama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu telah mengesahkan kehadiran sebagai tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Festival Mistik Bidayuh 2022.
Keesokan harinya (31 Julai) akan diadakan pertandingan memasak makanan tradisional kaum Bidayuh yang menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM1,200 selain hadiah samping.
Menurut Gabriel lagi, lebih 40 buah gerai menjual pelbagai masakan makanan Bidayuh akan disediakan bagi memenuhi keperluan para pengunjung festival, selain pameran dan jualan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Bagi memeriahkan hari terakhir festival beberapa penyanyi popular Bidayuh telah diundang untuk membuat persembahan masing-masing. — DayakDaily