Oleh Chris Bishop
KUCHING, 23 Oktober: Duta Besar Malaysia ke Peru yang baharu, Fenny Nuli, akui pikul tugas berat untuk ketengahkan Sarawak ke negara Amerika Selatan itu.
Pada kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini, beliau berkata beberapa perkara telah dibincangkan.
“Ini termasuk bidang pelancongan dan beberapa bidang lagi yang memiliki potensi untuk diketengahkan di Peru. Ini juga sebagai usaha kita meningkatkan perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Peru,” katanya ketika ditemui pemberita.
Di samping itu, Fenny juga berharap ketua menteri akan membawa delegasi dari Sarawak melawat Peru untuk mewujudkan perdagangan dua hala selain memperomosikan Sarawak.
Katanya, setakat ini perdagangan dua hala diantara Malaysia dan Peru hanya RM350 juta dan jauh rendah dibandingkan dengan negara-negara lain.
“Namun, jumlah ini memihak kepada Malaysia dan setakat ini Sarawak belum mengadakan dagangan dua hala dengan Peru,” ujar beliau lagi.
Fenny, 48, yang berasal dari Sri Aman, merupakan wanita Iban pertama dilantik ke jawatan itu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan perlantikan tersebut kepada beliau di Istana Negara pada 4 Oktober lepas. — DayakDaily