KUCHING, 6 Okt: Para usahawan di negeri ini digalakkan untuk memperolehi lesen untuk setiap produk dan perkhidmatan dalam apa jua bidang perniagaan yang mereka ceburi.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia untuk memudahkan mereka mendapat bantuan yang ada disediakan oleh pihak kerajaan.
“Tanpa lesen yang berkaitan, para usahawan sukar untuk mendapatkan pinjaman, geran, latihan dan insentif lain yang ada disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan ke kebun Tokoh Usahawan Wanita Sarawak 2019 Kina Karar di Kampung Kuap, Batu 10 Jalan Kuching-Serian hari ini.
Fatimah turut menyeru para usahawan agar menimba ilmu keusahawanan dengan secukupnya untuk memastikan mereka berjaya.
Katanya, dengan ilmu dan komitmen tinggi di dalam perniagaan ia mampu menghasilkan pendapatan yang tinggi.
“Jangan alang-alang, lakukannya sehingga berjaya kerana ia boleh menghasilkan pendapatan yang tinggi,” kata Fatimah.
Semasa lawatan tersebut, beliau menyaksikan sendiri kaedah-kaedah yang digunakan oleh Kina dalam tanaman cili, halia dan cendawan.
Selain bergiat di dalam bidang tanaman, Kina juga menyediakan perkhidmatan membina rumah hijau.
Kina setakat ini telah membina lebih 500 buah rumah hijau untuk para usahawan, swasta dan pihak kerajaan di seluruh Sarawak. — DayakDaily