Fatimah serah sumbangan Aidilfitri kepada 380 penerima di Lundu

Fatimah (dua dari kiri) menyerah Geran Pelancaran PE kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 20 April: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah hari ini menyampaikan sumbangan bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada seramai 380 orang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari daerah Lundu.

Menurut beliau, Majlis Sejambak Kasih tersebut melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM38,000.

“Para penerima yang dijemput hadir pada Majlis Sejambak Kasih yang diadakan hari ini akan menerima sumbangan iaitu wang tunai bernilai RM100 beserta hamper bernilai RM80.


“Pada majlis hari ini, seramai 100 orang penerima bantuan bulanan kebajikan akan menerima sumbangan.

“(Bagi) mereka yang tidak berpeluang hadir pada hari ini, sumbangan RM100 akan dikreditkan ke akaun masing-masing,” katanya dalam ucapan di Dewan Mahligai Gading di Lundu hari ini

Tambah Fatimah, sumbangan adalah untuk meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, ia membantu meningkatkan kualiti hidup di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Menurut Fatimah, sebanyak 15,318 orang atau 30.03 peratus daripada jumlah penerima bantuan Negeri Sarawak dengan perbelanjaan berjumlah RM1,531,500 akan menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pada majlis yang sama, Fatimah turut menyampaikan Geran Perlancaran RM5,000 (secara ‘one-off’) kepada 45 orang usahawan.

“Bagi tahun 2022, sasaran bagi Kuching seramai 55 orang Usahawan WELLBEST baru mengikuti program Pembangunan Ekonomi (PE).

“Setakat suku tahun pertama (Jan-Mac) 2022, seramai 45 orang telah pun diluluskan Geran Perlancaran RM5,000 dengan perbelanjaan sejumlah RM225,000,” ujar beliau. — DayakDaily