Fatimah: Sarawak sokong keputusan Agong lantik Muhyiddin sebagai PM ke-8

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, Mac 1: Kerajaan negeri menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, 72, sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, ia merupakan sokongan untuk keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kepentingan negara didahulukan. Keadaan kucar-kacir, ketidakpastian harus segera ditenteramkan.


“Keyakinan pelabur, aspirasi dan keinginan rakyat untuk melihat politik Malaysia kembali stabil mesti diutamakan,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Tambah Fatimah, Muhyiddin adalah seorang ahli politik veteran, bekas menteri pendidikan selain pernah memegang beberapa portfolio dalam kabinet dan dengan itu memiliki banyak pengalaman.

Menurut Fatimah lagi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu seorang pemimpin yang tegas dan berintegriti.

“Kita doakan beliau diberi kesihatan dan kesejahteraan, kebijaksanaan yang tinggi agar dapat memilih ahli kabinet yang berwibawa untuk memulihkan prestasi Malaysia kembali ke zaman kegemilangannya.

“Dalam pada itu, tidak lupa aspirasi dan hak rakyat Sarawak dan layan kita sewajarnya,” kata Fatimah.

Pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan semalam dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong dijadual diadakan di Istana Negara pada 10.30 pagi ini. — DayakDaily