KUCHING, Mei 26: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mengesahkan setiap penerima bantuan kebajikan bulanan di negeri ini yang menyambut perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi akan menerima sumbangan wang tambahan sebanyak RM100 dari kerajaan negeri.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata penerima bantuan itu yang akan menyambut Gawai Dayak kebanyakkan sudah menerima wang tambahan tersebut yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka berikutan perayaan terbabit bakal disambut sekitar minggu depan.
“Manakala mereka (penerima bantuan bulanan kebajikan) yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, kita akan masukkan wang tambahan RM100 terbabit ke akaun bank sebelum ketibaan perayaan itu (bulan depan) dengan sumbangan wang ini dari kerajaan negeri,” katanya selepas mengadakan aktiviti ziarah Ramadan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat ke rumah penerima bantuan kebajikan bulanan, Norlia Joni, 41, yang mempunyai dua anak kelainan upaya, di sini, hari ini.
Semasa lawatan itu Fatimah menyampaikan bantuan barangan makanan asas dan bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM700 kepada ibu kepada enam anak terbabit disamping selepas ini akan menghantar juru kaunseling bagi memujuk dua anaknya yang lain supaya meneruskan persekolahan mereka.
Fatimah berkata ini bermakna sekiranya penerima bantuan kebajikan di negeri ini yang biasanya setiap bulan menerima sebanyak RM350, mereka akan mendapat tambahan sebanyak RM100 bagi menyambut salah satu perayaan itu dan menjadikan jumlah keseluruhan diterima mereka sebanyak RM450.
“Pemberian sumbangan wang tambahan dari kerajaan negeri kepada penerima bantuan bulanan kebajikan ini dinamakan Program Sejambak Kasih dan sudah berterusan sejak 25 tahun lepas setiap kali perayaan Tahun Baru Cina, Gawai Dayak dan Hari Raya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata tahun ini juga pihaknya akan berusaha menambah bilangan kakitangan jurupulih anggota, juruterapi pertuturan dan jurufisioterapi yang memberikan khidmat pemulihan kepada kanak-kanak istimewa di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negeri ini.
“Kami sedar bilangan kakitangan terbabit tidak mencukupi sekarang ini dan mereka terpaksa berkhidmat mengikut zon; sebolehnya kita mahu setiap PDK di negeri ini ada seorang kakitangan terbabit,” katanya.
Disamping itu, Fatimah juga akan melihat kemungkinan membuka sebuah sekolah vokasional di negeri ini yang khusus bagi memberikan latihan kemahiran vokasional kepada golongan kelainan upaya yang sudah menamatkan persekolahan Tingkatan Lima.
“Sekarang ini kalau hendak mendapatkan latihan vokasional selepas tamat Tingkatan Lima, mereka terpaksa pergi ke Semenanjung, jadi tidak ramai ibu bapa mahu berpisah dari anak OKU ini,” kata beliau yang juga berharap kerajaan pusat yang baharu dapat memberi pertimbangan bagi mewujudkan sekolah vokasional khas itu di Sarawak. — DayakDaily