Fatimah: Kes Amatasia dan Jones bukan berkaitan kewarganegaraan, boleh diselesaikan

Fatimah menyampaikan sumbangan ang pau kepada salah seorang penerima.
Advertisement

KUCHING, 26 Jan: Kes dua beradik Amatasia dan Jones Bejie tiada berkaitan dengan kewarganegaraan dan boleh diselesaikan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut Fatimah, kedua-duanya memiliki sijil kelahiran dan status kewarganegaraan adalah jelas dinyatakan.

“Yang beliau (Amatasia) bangkitkan adalah berhubung kad pengenalan, ini adalah masalah keluarga.

Advertisement

“Kebiasaannya, jika kanak-kanak mencecah umur 12 tahun maka ibubapa akan memohon untuk mendapatkan kad pengenalan, tetapi bukan untuk kes ini,” katanya.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sejambak Kasih Bahagian Kuching Bersempena Tahun Baru Cina 2022 di Dewan Masyarakat Sungai Maong hari ini.

Tambah beliau, kementerian memberikan komitmen untuk membantu adik-beradik tersebut yang ditinggalkan oleh ibu mereka ketika kecil, dan bapa mereka yang telah berkahwin baharu, sehingga tidak menguruskan dokumen kad pengenalan.

Menurutnya, kriteria bagi permohonan lewat adalah mesti ada penaja dan segala dokumen berkaitan perlu dilengkapi sebelum kes itu boleh dibawa kepada panel khusus untuk proses kelulusan.

Katanya, permohonan yang dibuat adalah dibawah kategori permohonan lewat kerana umur Amatasia dan Joanes telah melebihi 20 tahun.

“Apa yang kami buat ialah menggunakan senarai semak di dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) , menyediakan dokumen yang perlu untuk membolehkan mereka mendapat kad pengenalan.

“Dan satu syarat dinyatakan oleh JPN ialah perlu ada penaja, maka bagi kes ini abang beliau di Sri Aman akan menjadi penaja,” katanya sambil berkata kedua-dua abang dan kakak Amatasia sudah memiliki kad pengenalan.

Dalam pada itu, seramai 100 orang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima ang pau RM100 dan hamper bernilai RM80 daripada Fatimah di majlis itu.

Turut hadir Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad. — DayakDaily

Advertisement