Fatimah: Bayaran bulanan petugas dan penyelia PDK dinaikkan mulai 2021

Datuk Seri Fatimah Abdullah.

KUCHING, 21 Nov: Kadar bayaran bulanan penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) masing-masing dinaikkan dari RM1,200 ke RM1,500 dan RM800 ke RM1,200  mulai tahun depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia memberi manfaat kepada 3,500 petugas dan penyelia dengan peruntukan RM100 juta melalui Belanjawan 2021.

“Bayaran ini adalah berpatutan dan seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang digalas oleh petugas dan penyelia.


“Sarawak mempunyai 55 buah PDK dengan 297 orang petugas dan 55 orang penyelia,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada majlis Penyerahan Geran kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan PDK Daerah Kuching di PDK Sri Satok di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, bantuan kewangan bagi pengendalian PAWE juga telah dinaikkan daripada RM33,000 ke RM50,000.

Menurut Fatimah, ia memberi manfaat kepada 285 buah PAWE di seluruh negara.

Dengan demikian jelas beliau, sebanyak 13 PAWE di Sarawak akan menjadi lebih aktif dengan mengadakan banyak lagi program.

Pada majlis itu enam buah PDK iaitu PDK Sentuhan Kasih Kuching, PDK Mutiara Hati Matang, PDK Petra Jaya, PDK Sri Satok, PDK Sinar Harapan Baru dan PDK Seri Batu Kawah menerima geran RM5,000 daripada Fatimah.

Turut menerima geran dengan jumlah yang sama ialah PAWE Sri Satok, PAWE Kuching, PPWE Kuching dan Sarawak Hun Nam Siang TGN. — DayakDaily