Fatimah: 702 penerima bantuan kebajikan di DUN Layar dengan jumlah RM2,114,900

Fatimah berucap dalam sessi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Nov: Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukan sejumlah RM2,114,900 kepada 702 penerima bantuan kebajikan di kawasan DUN Layar dari Januari hingga Oktober 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia
melibatkan 6 kategori bantuan yang majoritinya adalah pembiayaan Kerajaan Persekutuan.


Katanya, seramai 197 individu di Layar menerima bantuan am dengan jumlah RM561,000 manakala 78 penerima bantuan kanak-kanak dengan
jumlah RM179,600.

“Seramai 297 pula merupakan penerima bantuan orang tua dengan jumlah RM931,650, 23 penerima elaun pekerja cacat dengan jumlah RM106,000 manakala 25 individu pula merupakan penerima bantuan penjagaan OKU atau pesakit kronik terlantar dengan jumlah RM101,500.

“Sejumlah RM235,150 pula diperuntukan bagi bantuan OKU tidak berupaya bekerja yang diterima 82 individu,” kata Fatimah sebagai menjawab pertanyaan ADUN Layar Gerald Rentap pada persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) hari ini.

Menurut Fatimah, terdapat 2 jenis bantuan bulanan yang merupakan sumbangan penuh kerajaan negeri iaitu bantuan am dan bantuan belia
beliawanis.

Jelas beliau, bantuan am diberi dengan kadar RM200-300 sebulan yang melibatkan 10,808 penerima di seluruh negeri manakala bantuan belia-beliawanis dengan kadar RM200 sebulan yang dikini diterima 3 individu.

Bantuan am diberi kepada golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan yang lain.

Manakala Bantuan Belia Beliawanis ialah untuk membantu penerima bantuan atau anak-anak mereka yang tercicir daripada persekolahan dan menganggur serta bekas pelatih atau bekas penghuni institusi kebajikan untuk mendapatkan latihan kemahiran atau latihan sambil bekerja untuk tempoh 6 bulan sahaja. – DayakDaily