Fatimah: 385 taska, tadika di Sarawak kembali beroperasi

Fatimah (berdiri tiga dari kiri) mengadakan lawatan ke Taska Sedidik Perdana Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 DIS: Sebanyak 385 taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) di seluruh Sarawak sudah beroperasi semula.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak(KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia termasuk 245 taska dan tadika di Daerah Kuching dan Miri yang merupakan Zon Kuning Covid-19.


“Manakala sebanyak 140 taska dan tadika telah beroperasi di Zon Hijau Covid-19,” katanya pada sidang media selesai mengadakan lawatan ke Taska Sedidik Perdana Kuching di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, pembukaan 385 taska dan tadika itu melibatkan sejumlah 7,611 kanak-kanak dan 7,164 guru atau pengasuh serta 3,938 pembantu guru.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) di Taska Sedidik Perdana Kuching yang menempatkan 16 kanak-kanak dari usia enam bulan hingga empat tahun.

“Pematuhan para ibu bapa, guru terhadap SOP adalah baik dan premis juga menjalani proses sanitasi setiap hari.

“Pematuhan ini penting demi keselamatan dan kesihatan kanak-kanak termasuk pengasuh,” ujar Fatimah.

Turut hadir Pengurus Besar Sedidik Dr Nor Ashikin Abdul Rahman dan Ketua Bahagian Pembangunan Kanak-Kanak KWKPK Salina Bujang. — DayakDaily