Fatimah: 222 taska, tadika sudah beroperasi semula di zon merah dan kuning

Fatimah (kanan) melawat sekitar The Playschool 3, Taska Bimbingan Cahaya, Jalan Sungai Maong.

KUCHING, 25 Nov: Keseluruhannya sebanyak 222 taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) sudah kembali beroperasi semula dalam kawasan zon merah dan zon kuning Covid-19 di Sarawak setakat ini.

Ini selepas Timbalan Ketua Menteri dan Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Tan Sri James Jemut Masing mengumumkan taska dan tadika dalam dua zon tersebut dibenarkan beroperasi semula pada satu sidang media 22 November lepas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sebanyak 160 taska dan tadikan terbabit sudah beroperasi semula di zon merah iaitu daerah Kuching dengan bilangan kanak-kanak mereka seramai 1,770 orang.


“Ada (taska dan tadika selebihnya di zon merah) yang akan buka minggu depan sahaja,” katanya selepas mengadakan lawatan bagi meninjau pematuhan Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) di The Playschool 3, Taska Bimbingan Cahaya, Jalan Sungai Maong, di sini, hari ini.

Fatimah berkata sebanyak 62 taska dan tadika pula sudah beroperasi semula di zon kuning iaitu daerah Miri dan Limbang dengan bilangan kanak-kanak seramai 1,498 orang.

“Dalam zon hijau (daerah lain) pula terdapat sebanyak 108 taska dan tadika yang beroperasi dengan bilangan kanak-kanak mereka seramai 2,245 orang,” katanya.

Beliau menjelaskan taska dan tadika di zon merah dan kuning dibenarkan beroperasi semula baharu-baharu ini disebabkan perkhidmatannya menjadi keperluan penting bagi ramai ibu bapa yang kedua-duanya bekerja dan tiada ahli keluarga lain bagi menjaga anak kecil mereka di rumah.

“Sebab itu taska paling banyak di sekitar Kuching. Di luar bandar, taska bilangannya tidak besar dan kita mendapati ibu bapa (yang kedua-duanya bekerja di luar bandar) lebih suka anak kecil mereka dijaga di rumah oleh ahli keluarga,” katanya.

Manakala dari pemantau pihaknya setakat ini, mereka berpuas hati dengan pematuhan segala SOP ditetapkan bagi operasi taska dan tadika di negeri ini termasuk di zon merah dan kuning serta akan terus melakukan pemantauan itu. — DayakDaily