Fasal 6 Perkara 18 beri keadilan kepada ahli Dewan Rakyat – Lukanisman

Lukanisman Awang Sauni

KUCHING, 27 Julai: Fasal 6 Perkara 18 Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti memberi keadilan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat, kata MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

Menurut beliau, fasal tersebut membolehkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahlian untuk bertanding semula di dalam pilihanraya.

“Pada pandangan saya, ia membolehkan seseorang ahli Dewan Rakyat menguji mandat dan juga menguji populariti beliau.

“Sekiranya ahli Dewan Rakyat berniat untuk keluar dan juga meninggalkan parti, beliau dapat menguji mandat beliau menerusi pilihanraya,” katanya di dalam perbahasan menyokong RUU Anti Lompat Parti di Persidangan Parlimen hari ini.

Tambah Lukanisman, tindakan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan kerusi dengan sengaja kerana mendapat tawaran lebih baik juga harus ditangani.

Katanya, tindakan itu boleh menjadi ‘loop hole’ kepada RUU Anti Lompat Parti.
“Ini boleh menjadi bentuk baharu lompat parti sekiranya ‘loop hole’ ini tidak diperbaiki, ” tegas Lukanisman.

RUU Anti Lompat Parti telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini. — DayakDaily