Fasa pertama pembayaran BPN mulai April 6

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Image from Finance Ministry website.

KUCHING, 4 April: Pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) berjumlah RM5.63 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai Isnin, April 6.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,  berkata ia melibatkan 8.3 juta isi rumah dan individu bujang yang telah diluluskan.

“Bayaran akan dibuat secara terus ke akaun bank berdaftar dibawah data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Penerima BPN di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tempoh yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Bagi penerima pendalaman yang tiada akaun bank, BPN akan dibayar sekaligus dengan bayaran BSH 2020 fasa ketiga, tambah beliau.

“Bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu dan rayuan akan dibuat, dan bagi mereka yang diluluskan bayaran akan dibuat pada bulan Mei 2020.”

Tempoh permohonan baharu dan rayuan BPN dibuka dari 1 hingga 30 April, 2020.

Zafrul menasihati rakyat agar berhati-hati dengan ‘scammers’ yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan Pakej Prihatin ini.

Justeru penerima katanya, disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali. — DayakDaily