Fasa Pertama Neu Pendington dilancar awal tahun hadapan

Mohd Salem Kailany (kiri) menunjukkan salah sebuah skala model apartmen servis Neu Pendington yang telah dibuka untuk pendaftaran.

KUCHING, 22 Mei: Pelancaran apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama Neu Pendington dijangka pada awal tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (UDA) Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, apartmen servis 25 tingkat yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Neu Pendington iaitu pembangunan bersepadu pertama di Sarawak itu menawarkan 347 unit kediaman dengan tiga jenis keluasan.

“UDA sentiasa optimis memacu pembangunan hartanah serta meningkatkan urbanisasi dalam membentuk komuniti inklusif. Seiring dengan perkembangan dalam perniagaan, UDA mengambil langkah proaktif melebarkan sayap ke negeri Sarawak dalam usaha menggalakkan pemilikan hartanah seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat.


“Bagi menzahirkan hasrat tersebut, UDA komited menggiatkan pelaksanaan pembangunan Neu Pendington di mana projek apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama itu telah pun mendapat kelulusan merancang dan kejuruteraan (AVTC) daripada State Planning Authority manakala kerja tanah serta Infrastruktur bakal bermula pada akhir Mei ini,” kata Mohd Salem.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Gawai Raya 2023 yang berlangsung di Dewan Banquet Sri Bunga Rampai, Jalan Taman Budaya, Taman Budaya, di sini, hari ini.

Majlis anjuran UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan korporat, para prospek dan pihak berkepentingan seterusnya meraikan kemeriahan Hari Gawai serta penutup Hari Raya Aidilfitri.

Tambah Mohd. Salem, UDA menyasarkan jualan 30 peratus unit apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama tersebut pada tahun hadapan.

Setakat hari ini, pendaftaran bagi unit kediaman tersebut telah dibuka dan ia menerima sambutan yang menggalakkan khususnya daripada warga tempatan.

Apartmen servis Neu Pendington menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, kolam mandi kanak-kanak, jakuzi, gimnasium, trek joging, ruang dobi, tandas, bilik persalinan dan sky garden (taman di atas bangunan).

Selain itu, ia terletak di lokasi strategik berdekatan kawasan industri Pending Heights dengan akses mudah iaitu lima kilometer dari bandar Kuching, dua kilometer dari Borneo Convention Centre Kuching, 10 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 24 kilometer dari Kota Samarahan.

Pembangunan bersepadu Neu Pendington dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM496 juta itu dibangunkan hasil usaha sama UDA dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaku pemilik tanah. — DayakDaily