Fadillah: Status kemajuan keseluruhan Projek Pan Borneo Sarawak 54 peratus

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 7 Sept: Status kemajuan pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sehingga Ogos 2020 mencapai 54 peratus.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, status kemajuan itu melibatkan 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri yang kini sedang giat dilaksanakan.

“Bagi Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, satu pakej kerja iaitu pakej Telok Melano ke Sematan telah siap sepenuhnya pada bulan Januari 2019,” katanya menerusi satu kenyataan bertulis di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab soalan daripada Senator Dr Nuing Jeluing yang bertanya status projek tersebut dan bila ia bakal disiapkan.

Menurut Fadillah lagi, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu Pakatan Harapan (PH) untuk mengubah kaedah pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

Pada awalnya penamatan rakan pelaksana projek (PDP) katanya, ia dijangka akan memberi penjimatan kepada kerajaan khususnya tiada keperluan pembayaran yuran PDP.

“Walau bagaimanapun, perubahan model pelaksanaan tersebut tidak mengambil kira perkara-perkara yang sedang ditangani oleh kerajaan.

“Antara lain kesan ke atas pentadbiran projek, perubahan kontrak, kebajikan kakitangan-kakitangan yang terlibat dan keperluan penambahbaikkan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada,” ujar Fadillah.

Justeru jelas beliau, tindakan susulan berterusan sedang dilaksanakan bagi menambahbaik kaedah pelaksanaan yang telah diputuskan sebelum ini bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.-DayakDaily