Fadillah: Sistem J10 JKR bakal memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 29 Mac: Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof hari ini melancarkan Sistem J10 JKR yang bakal merevolusikan kaedah kerja konvensional melalui pendigitalan penggunaan borang dan kaedah kerja.

Menurut Fadillah, sistem ini dibangunkan untuk mempertingkatkan keupayaan pengurusan, pemantauan serta pelaporan prestasi projek yang dikendalikan oleh JKR di dalam dan luar negara melalui satu platform tunggal.

“Pembaharuan ini juga merangkumi pelbagai aspek termasuk meningkatkan infrastruktur serta mentransformasi proses perkhidmatan JKR sedia ada melalui pelaksanaan solusi ICT yang lebih komprehensif.


“Ianya akan digunakan oleh semua pejabat JKR di seluruh negara. Skop Sistem J10 ini bermula daripada penerimaan projek oleh JKR sehingga ianya diserahkan kepada kementerian dan agensi pelanggan.

“Kesemua maklumat dalam sistem ini akan dilaksanakan mengikut proses aliran kerja bermula dari Fasa Perancangan, Reka bentuk, Perolehan, Pembinaan sehingga kepada Penyerahan,” katanya.

Tambah beliau, sistem ini juga diintegrasikan dengan sistem-sistem daripada agensi di luar JKR.

Katanya, ia bagi mewujudkan perkongsian maklumat yang efektif dan terkini serta boleh dicapai melalui pelbagai peranti mudah alih seperti telefon pintar.

Majlis pelancaran secara hybrid di Kuala Lumpur ini ditayangkan secara langsung melalui profil Facebook rasmi JKR Malaysia. — DayakDaily