KUCHING, Jan 30: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan minatnya bertanding merebut jawatan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semasa Perhimpunan Agung PBB pada Feb 8 hingga 11 depan.
“Itu amat bergantung kepada pencalonan (dari cawangan parti PBB). Kalau ada pencalonan dari mereka maka saya akan meneruskannya. Pencalonan itu akan ditutup pada Feb 1 depan, jadi Khamis depan kamu akan mengetahui samada saya ada dicalonkan atau tidak,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu “Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital: Potensi dan Peluang” anjuran Maktab Koperasi Malaysia Zon Sarawak di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan satu pencalonan dari cawangan parti itu sudah cukup baginya meneruskan hasrat itu kerana PBB tidak menetapkan sebarang kuota bilangan pencalonan bagi layak merabut jawatan itu dan hanya sekiranya tiada menerima sebarang pencalonan Khamis ini barulah beliau tidak akan dapat bertanding merebut jawatan itu.
“Kalau ada pencalonan, saya pasti akan meneruskannya,” katanya kerana dua jawatan Naib Presiden Kanan PBB, satu darinya diperuntukan kepada Sayap Bumiputera manakala satu lagi kepada Sayap Pesaka.
Beliau juga menyangkal berminat merebut jawatan Setiausaha Agung PBB kerana jawatan terbabit adalah secara lantikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB disamping jawatan itu akan diperuntukan kepada Sayap Pesaka.
Sebelum ini, Fadillah dan Puan Sri Empiang Jabu telah mengumumkan tidak mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB dan Ketua Pergerakan Wanita PBB semasa perhimpunan agung parti.
Keputusan mereka itu telah diumumkan Ketua Menteri dan Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, di sini, Jan 12 lepas. — DayakDaily