Fadillah: Kerajaan luluskan pembinaan Jambatan Sungai Limbang dengan kos RM115 juta

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 25 Nov: Kerajaan telah meluluskan projek pembinaan jambatan baharu Sungai Limbang, Jalan Lawas-Merapok di Bahagian Limbang dengan kos sebanyak RM115 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut antara 52 projek baharu yang diluluskan pada tahun hadapan yang memberi impak besar kepada masyarakat.

“Selain dari 52 projek yang telah diluluskan, kelulusan peruntukan juga diberikan kepada KKR (Kementerian Kerja Raya) bagi pelaksanaan program penggantian jambatan usang dan sempit di seluruh negara yang melibatkan 14 bilangan projek baharu,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Perbekalan 2021 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

Tambah Fadillah yang juga MP Petra Jaya, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 meneruskan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Sabah.

Katanya, KKR akan mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo dengan melantik ‘Project Management
Consultant’ (PMC).

Jelas beliau, perlantikan PMC tersebut adalah untuk membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya lagi, pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo adalah sebahagian daripada pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut.

“Ia juga secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat Sarawak dan Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik di masa yang akan datang,” ujar beliau. — DayakDaily