Fadillah harap Belanjawan 2021 beri fokus perkasa sektor Industri pembinaan negara

Dato Sri Fadillah Yusof

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 31 Okt.: Kementerian Kerja raya berharap industri pembinaan negara akan terus kekal diberikan perhatian dan menjadi teras kerajaan terhadap pemulihan ekonomi dan pertumbuhan KDNK bagi tahun 2021 pada pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di parlimen Jumaat depan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata kerajaan perlu memastikan projek-projek pembinaan utama yang sedang dan akan dibina pada masa kini antaranya Mass Rapid Transit Line 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Pan Borneo projek berjalan lancar dan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan positif bagi industri sektor pembinaan.

“Saya juga berharap Belanjawan 2021 ini juga dapat mempertimbangkan permintaan projek-projek berkeutamaan tinggi tertentu oleh Kementerian Kerja Raya. Antaranya ialah baki bagi pakej projek Central Spine Road (CSR) dan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai yang masih lagi belum diluluskan, iaitu laluan antara Kuala Krai ke Gua Musang dan juga jajaran menghubungkan Bentong ke Karak.

“Manakala di Malaysia Timur pula, antara projek berkeutamaan tinggi yang terlibat ialah laluan ‘missing link’ menghubungkan Kuala Baram di Miri dengan sempadan negara Brunei Darussalam di pusat Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQ) Sungai Tujuh sepanjang hampir lima kilometer (KM),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kerja raya telah memohon lebih kurang 20 projek baharu di seluruh negara melibatkan projek menaik taraf jalan sedia ada atau membina jalan baharu bagi menambah baik rangkaian jalan utama sedia ada.

“Kesemua cadangan tersebut telah diteliti dan diperhalusi di peringkat kementerian bersama Agensi-Agensi Pusat melalui para meter khusus termasuk melalui proses konsultasi dengan kerajaan negeri berkaitan.

“Selain projek-projek ‘game-changer’ dan projek-projek baharu yang telah disebutkan tadi, saya juga berharap supaya peruntukan yang signifikan juga dapat disediakan oleh Kerajaan untuk projek-projek kecil sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi tahun 2021.

“Kesan pengganda ekonomi yang diperoleh melalui projek-projek kecil sebegini akan lebih cepat dirasai dan dapat dinikmati oleh lebih ramai lapisan penggiat industri yang terlibat dalam mata rantaian sektor pembinaan,” katanya.

Menurut Fadillah, walaupun industri sektor pembinaan mula kembali rancak semula selepas suku ketiga tahun ini, namun penularan wabak Covid-19 memberikan implikasi besar kepada sektor industri pembinaan dengan keperluan mematuhi norma baharu pasca Covid-19 serta kekurangan tenaga kerja dalam bidang terbabit akibat sekatan terhadap kemasukan pekerja asing ke negara ini.

“Untuk itu, saya berharap peruntukan yang signifikan dapat disediakan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menggiatkan lagi penggunaan teknologi dalam industri pembinaan. Ini boleh diadaptasikan melalui teknologi IR4.0 seperti robotik, automasi, data raya, internet kebendaan (IOT), realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Tambah Fadillah, Belanjawan 2021 turut dapat mengukuhkan lagi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan Pre-Approved Plan (PAP) dalam pelaksanaan projek-projek Kerajaan dan swasta.

Ia sekali gus dapat memenuhi aspirasi yang telah digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dan Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.-DayakDaily.