Fadillah: 15 tapak bina gagal patuhi SOP diarah tutup

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 15 Feb: Sebanyak 15 tapak pembinaan diarah tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 13 Januari 2021.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf, 15 tapak pembinaan itu telah diberikan notis berhenti kerja kerana didapati tidak mematuhi beberapa Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) yang ditetapkan.

“Pemeriksaan mendapati penempatan pekerja tidak mematuhi Akta 446, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Dalam tempoh tersebut, tambah Fadillah, CIDB telah memeriksa sebanyak 1,078 tapak pembinaan di seluruh negara yang mana sebanyak 1,022 tapak pembinaan didapati beroperasi.

Jelas beliau, kebanyakan kes positif Covid-19 di tapak-tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

“Hasil penemuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati bahawa punca utama penularan wabak ini di kalangan pekerja asing adalah penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta 446.

“Pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain didapati berperanan menyebarkan wabak tersebut dan membentuk kluster-kluster pembinaan.

“Ketidakpatuhan SOP dan garis panduan yang ditetapkan juga punca penularan wabak,” ujar Fadillah.

Dalam pada itu, beliau menggesa para kontraktor yang mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKP memastikan pematuhan SOP sepenuhnya di tapak pembinaan dan penempatan pekerja.

CIDB, kata beliau, telah diarah untuk mempergiatkan lagi pemeriksaan SOP di tapak pembinaan di seluruh negara untuk memastikan pematuhan.

“Jika projek pembinaan didapati tidak mematuhi SOP, CIDB akan mengeluarkan arahan penutupan tapak bina.

“CIDB juga boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap kontraktor terbabit yang mengakibatkan pendaftaran mereka dibatalkan atau digantung,” tegas Fadillah. — DayakDaily