Enjin kenderaan terbakar, pemandu berdepan detik mencemaskan

Kelihatan keadaan Toyota Hilux yang terbakar di bahagian enjinnya.

Oleh Dean Adam

MUKAH, April 10: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda berdepan dengan detik mencemaskan selepas Toyota Hilux yang dipandu tiba-tiba terbakar, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu dilaporkan berlaku di Jalan Balingian-Tatau.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.50 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Mukah terus ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan api sedang marak membakar bahagian enjin kenderaan berkenaan.

“Pasukan bomba terus melakukan operasi memadam kebakaran bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan dalam keadaan selamat.

Katanya, kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 35 peratus kenderaan tersebut.

‘Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Operasi ditamatkan pada pukul 4.20 pagi,” katanya. — DayakDaily