Oleh Dean Adam
SEBUYAU, Nov 29: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Beliung Hulu di sini musnah terbakar, lewat petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu telah mengakibatkan sebuah rumah kampung berstruktur tidak kekal musnah terbakar 100 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Justin Basi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.04 petang.
Katanya, tiga sepasukan bomba sukarela (PBS) Sebuyau telah sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.08 petang.
“Anggota PBS dengan dibantu penduduk kampung kemudian bertindak melakukan operasi pemadaman kebakaran.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.30 petang sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya di sini malam ini.
Justin menambah, pasukan bomba kemudian bertindak melakukan operasi ‘overhaul’ bagi memastikan keadaan adalah terkawal.
Katanya, kebakaran berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” ujarnya. — DayakDaily