Enam sekeluarga terselamat dalam kebakaran di Bekenu

Api sedang marak menjilat kedua buah rumah dalam kejadian.

MIRI, 1 Julai: Enam sekeluarga termasuk seorang wanita warga emas sempat melarikan diri apabila rumah yang didiami dijilat api awal pagi tadi.

Kejadian berlaku di Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu.

Turut musnah dalam kejadian sebuah rumah yang tidak berpenghuni terletak kurang dua meter dari kediaman mangsa.


Kesemua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Pemangku Bomba Zon 6 Miri Ahmad Nizam Sapaiee, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 4.53 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba Batu Niah telah bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.16 pagi,” ujarnya.

Lokasi kejadian terletak 23km dari Balai Bomba Batu Niah.

Ahmad Nizam berkata, pihak bomba berdepan kesukaran untuk masuk ke lokasi berikutan jalan ke kampung tersebut terlalu sempit.

Api berjaya dikawal sekitar jam 5.30 pagi. Operasi tamat jam 6.40 pagi. — DayakDaily