Enam rumah di RPR Sibiew terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar rumah.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 24: Sebanyak enam buah rumah di RPR Sibiew di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian sekitar pukul 3 pagi itu telah mengakibatkan lima buah rumah musnah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terjejas kira-kira 80 peratus.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.02 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Kelihatan kesan kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah di situ.

“Pemeriksaan mendapati, semua penghuni rumah berjaya keluar menyelamatkan diri mereka,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, anggota bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba.

Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.29 petang.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily