Enam PPS dibuka, jumlah mangsa banjir terus meningkat

PPS di Dewan Serbaguna Taman Malihah yang menempatkan seramai 187 orang mangsa daripada 42 keluarga.

KUCHING, 13 Jan: Jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 385 orang mangsa berbanding 99 mangsa awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi sebanyak enam buah PPS telah dibuka bagi memindahkan mangsa berkenaan.

“Daripada enam buah PPS itu empat daripada dibuka di Kuching manakala masing-masing satu di Serian dan Miri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, Kuching merekodkan pertambahan mangsa banjir sebanyak 247 orang mangsa selepas dua lagi PPS dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Taman Malihah dan PPS Shophouse Lot Batu Kawa.

Terdahulu, seramai 110 orang mangsa telah dipindahkan di dua PPS iaitu PPS Balai Raya Taman Desa Wira dan Dewan Rekreasi Bimajaya.

Katanya, bagi PPS di Serian dan Miri, jumlah mnagsa yang dipindahkan di PPS terbabit kekal sebanyak 28 orang mangsa.

Kesemua mangsa terbabit kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Betong Kenowit, Serian dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Batu Satu Miri.

Hujan berterusan sejak petang semalam serta fenomena air pasang besar atau ‘king tide’ telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kuching, Serian, Miri dan Limbang di naiki air dan dilanda banjir kilat. — DayakDaily