Enam individu cedera dalam nahas dua kenderaan

Kelihatan keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

BAU, Dis 21: Sekurang-kurang enam individu cedera selepas terlibat dalam nahas jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Bau-Batu Kitang di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul ,9.15 pagi itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.18 pagi.

Sejurus itu, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau bergegas ke tempat kerja untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan masing-masing sebuah kereta jenis Toyota Altis dan Proton Saga.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat seorang wanita masih berada dalam Toyota Altis dan mengalami kecederaan pada bahagian mukanya,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, lima mangsa lain pula telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Katanya, setelah mengeluarkan mangsa, pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) kemudian memberikan rawatan awal kepada wanita berkenaan.

“Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja membersihkan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di tempat kejadian. Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily