Enam individu bakal berdepan hukuman gantung selepas disyaki edar dadah

Dadah yang dirampas oleh polis.

PADAWAN, Sept 19: Enam individu termasuk tiga wanita bakal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Kesemua suspek yang dicekup di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ditahan menerusi serbuan di sebuah rumah di Batu 10, Jalan Kuching-Serian, pada jam 8 malam, Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa, berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 18 dan 29 tahun.


Katanya, semasa serbuan dijalankan, pihak polis telah merampas dadah jenis ketulan syabu seberat kira-kira 61.70 gram.

“Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM8,540 dan hasil saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Enam suspek yang ditahan.

Merbin menambah, siasatan lanjut mendapati dua suspek memiliki rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 15(1)(A) ADB 1952.

“Manakala tiga lagi suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(A) ADB 1952,” tegasnya. — DayakDaily