Empat warga Indonesia bersama peralatan menangkap ikan ditahan

Empat warga Indonesia yang ditahan bersama peralatan menangkap ikan.

LUNDU, Julai 22: Empat warga Indonesia ditahan kerana memasuki ke sempadan Malaysia menggunakan laluan lorong tikus di Kandaie di sini pada pukul 10.30 pagi ini.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, sebelum penahanan itu, anggota tentera dari Rejimen ke-4 Kor Amor Diraja sedang melaksanakan Op Sekap sebelum mengesan pergerakan empat suspek menaiki dua buah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil penahanan dan pemeriksaan keempat warga negara indonesia tersebut mendapati mereka telah merentas sempadan secara tidak sah dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.


“Turut dirampas adalah dua buah motosikal bersama dua peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat aktiviti menangkap ikan dengan peralatan elektrik.

“Keempat warga Indonesia yang berumur antara 28 hingga 40 tahun serta barang rampasan kemudian dibawa dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan penahanan empat lelaki warga Indonesia itu.

Katanya, kesemua suspek akan ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily