KUCHING, 8 Mac: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah mewujudkan empat unit baharu, kata Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), unit baharu ini adalah bagi melancarkan proses penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah berhubung dengan tunggakan nafkah oleh suami atau bapa yang culas.
“Bagi melancarkan proses penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah berhubung dengan tunggakan nafkah, maka BSK mengambil pendekatan mewujudkan empat unit baharu.
“Ia adalah Unit Pemantauan (UP), Unit Khidmat Nasihat Perundangan (UKNP), Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (UPPP) dan Unit Pengurusan Dana (UPD),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Dana Sokongan Keluarga Bahagian Sokongan Keluarga dan Sumbangan Asnaf Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak di Miri pada Selasa.
Tambah beliau, unit-unit tersebut berperanan secara seiring bagi memastikan pihak pemiutang penghakiman terutamanya anak dan isteri tidak teraniaya oleh perbuatan bapa atau suami yang gagal dan ingkar melaksanakan perintah nafkah.
“Namun, hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hak dan tanggungjawab sebagai seorang suami atau bapa.
“Pemberian ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dari segi nafkah yang berkaitan sementara menunggu prosiding penguatkuasaan selesai,” ujarnya.
Dalam pada itu, JKSS juga telah menyerahkan Bantuan Dana yang diperoleh daripada Tabung Baitulmal Sarawak kepada 17 penerima terpilih dan sumbangan kepada lima golongan asnaf dalam majlis yang sama. — DayakDaily