BAU, 8 April: Seramai empat lelaki ditangkap di Kampung Sungai Pinang di sini kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata keempat-empat suspek berusia 24 hingga 31 tahun ditangkap dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau.
“Serbuan pertama dilakukan sekitar jam 9.15 pagi ke atas sebuah rumah dan hasil pemeriksaan tidak menemui apa-apa yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, seorang lelaki berusia 24 tahun ditangkap selepas saringan awal air kencing mengesahkan dia positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya juga, tiga lagi suspek ditangkap dalam serbuan kedua iaitu sekitar jam 9.45 pagi.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan menemukan satu beg kecil bercorak batik di atas lantai dan didapati terdapat satu paket lutsinar yang didalamnya mengandungi 10 paket kecil berisi ketulan kristal disyaki dadah.
“Ketiga-tiga suspek kemudian ditangkap dan hasil saringan air kencing juga mengesahkan mereka positif dadah,” katanya.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 kerana memiliki dadah yang membawa hukuman penjara dua hingga lima tahun serta sebatan.
“Selain itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah, keempat-empat suspek boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya. — DayakDaily