Empat sekeluarga berdepan risiko tanah runtuh

Anggota bomba dan penghuni rumah melihat kesan runtuhan tanah.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Dis 20: Empat sekeluarga di Kampung Tepoi, Tebedu di sini berdepan risiko bahaya akibat kejadian tanah runtuh di belakang rumah mereka.

Bagaimanapun ketika ini, keadaan di sekitar kawasan rumah keluarga terbabit masih dalam keadaan terkawal.


Jurucakap Bomba dan Penyelamat Serian berkata, dua anggota bomba telah ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan tanah runtuh di situ.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan runtuhan tanah di kawasan di belakang rumah keluarga berkenaan.

“Situasi pada keseluruhannya dalam keadaan terkawal dan tiada kerja-kerja permindahan dilakukan buat masa ini.

“Namun, pasukan bomba memberikan nasihat kepada penghuni rumah berkenaan agar mengambil langkah berjaga-jaga jika keadaan semakin tidak terkawal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, empat sekeluarga itu juga dinasihatkan agar berpindah sementara ke tempat yang lebih selamat sekiranya insiden tanah runtuh berlaku lagi.

“Kita tidak mahu sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku kelak, disebabkan itu penghuni rumah tersebut mesti sentiasa bersedia.

“Cuaca yang tidak menentu sekarang sedikit sebanyak telah menyebabkan kejadian berkenaan,” katanya. — DayakDaily