Empat pemandu mabuk ditahan

Anggota polis memeriksa kandungan alkohol pemandu dalam operasi tersebut.

KUCHING, 2 Jan: Empat pengguna jalan raya ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi ‘Op Mabuk’ di Jalan Simpang Tiga di sini pada malam ambang Tahun Baru 2022.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata keempat-empat pemandu berkenaan merupakan lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 38 tahun.

Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan selanjutnya.


“Hasil ujian menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati keempat-empat mereka positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi paras yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek yang positif alkohol itu akan didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun,” katanya.

Operasi tersebut bermula dari jam 10 malam hingga awal 1.30 pagi semalam.

Sebanyak 97 keping saman dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching atas pelbagai jenis kesalahan termasuklah tidak memakai tali pinggang keledar, tiada nombor pendaftaran, no plet tidak ikut peraturan, gagal tunjuk lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, ubahsuai ekzos dan LKM tamat tempoh.

“PDRM Kuching akan meneruskan operasi seumpama ini bagi menyampaikan mesej kerajaan untuk membendung gejala pemandu mabuk dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan,” kata Merbin. – DayakDaily