Empat individu nyaris maut terlibat dalam kemalangan

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Dis 20: Empat individu nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Begunan di sini malam tadi.

Kemalangan kira-kira pukul 7.45 malam itu melibatkan sebuah Perodua Myvi dan Toyota Hilux.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, William Baheng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.50 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan bagi melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati pemandu kereta itu masih dalam tersepit dan cedera, manakala dua lagi penumpang mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini malam tadi.

Kelihatan lokasi kemalangan di Jalan Bukit Begunan.

William menambah, anggota bomba kemudian bertindak menstabilkan keadaan pemandu yang tersepit dan seterusnya menggunakan peralatan ‘hydrolic cutter’ untuk memotong kerangka Perodua Myvi bagi mengeluarkan mangsa.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba melakukan ‘flushing’ atau kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan,” jelasnya. — DayakDaily