Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Jun 3: Empat individu nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan By Pass Kota-Samarahan di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu mengakibatkan tiga mangsa lelaki dan seorang wanita cedera.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Ahmad Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.34 petang.
Katanya, sepasukan 11 anggota bomba dari BBP Kota Samarahan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Axia dan Perodua Rusa.
“Difahamkan Perodua Rusa itu dikatakan datang dari arah Kuching menghala ke Serian manakala Perodua Axia dari arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Shah menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam Perodua Rusa.
Katanya, mangsa yang cedera seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi itu ditamatkan sepenuhnya pada 4.43 petang,” katanya. — DayakDaily