Dua wanita antara tiga individu diberkas disyaki miliki dadah

Tiga suspek yang ditahan selepas disyaki memiliki dadah.

KUCHING, Ogos 21: Seorang lelaki dan dua wanita ditangkap selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah hotel di Jalan Batu Kawah di sini hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 1.50 pagi itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan BSJD Kuching.

Ketua Polis Daerah Padawan, SUPT Aidil Bolhassan berkata, menerusi serbuan itu, polis berjaya menahan tiga suspek yang berusia antara 21 hingga 39 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam bilik hotel itu menemui satu kotak warna hitam yang di dalam terdapat satu plastik lutsinar mengandungi 11 paket plastik lutsinar dibaluti pita pelekat warna putih dan 1 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine atau syabu.

Dadah yang dirampas daripada suspek.

“Berat semua dadah yang dirampas itu ialah 11.54 gram dan nilai pasaran bagi bahan terlarang tersebut berjumlah RM1,500.

“Kesemua dadah itu disimpan di atas meja televisyen di dalam bilik hotel berkenaan,” kata di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku memiliki dadah tersebut dengan cara “bank in”.

Katanya, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mengaku mengambil dadah jenis syabu.

“Suspek lelaki kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan, manakala suspek wanita dimasukkan ke lokap Balai Polis Beratok untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily