KUCHING, Mac 1: Berkas dua suspek dan rampas sepucuk pistol buatan sendiri serta dua butir peluru.
Itulah kejayaan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak susulan penahanan dua suspek dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tabuan Heights di sini malam tadi.
Ketua JSJ Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 27 tahun terbabit telah direman selama empat hari bermula hari ini hingga Mac 5 depan.
Katanya, Mahkamah Majistret Kuching telah meluluskan permohonan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.
“Hasil maklumat awam serta risikan polis, pasukan polis berjaya memberkas kedua-dua suspek pada pukul 9.30 malam.
“Sebelum itu, anggota polis bertugas terpaksa menggunakan kekerasan untuk membuka pintu rumah yang didiami kedua-dua suspek selepas mereka menyedari kehadiran pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dev menambah, tidak cukup dengan itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, tetapi gagal selepas dicekup pasukan polis.
Jelas Dev, siasatan lanjut mendapati, suspek-suspek berkenaan memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan kes samun dan dadah.
“Kita juga sedang mengesan suspek lain yang ada hujung kait dengan kedua-dua lelaki terbabit,” ujarnya. — DayakDaily