Dua suspek kejadian curi bateri dalam video tular ditahan polis

Tangkap skrin dari CCTV memaparkan dua lelaki mencuri bateri kereta di Senadin pada Isnin (14 Mac 2022). Kurang 24 jam selepas kejadian, suspek berjaya ditahan. Difahamkan suspek cuba melarikan diri apabila mengetahui video rakaman CCTV tersebut tular di media sosial.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Mac: Tindakan pantas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri hari ini berhasil menangkap dua lelaki disyaki mencuri bateri kereta dari sebuah rumah di Senadin Fasa 7.

Terdahulu, kedua-dua suspek itu telah cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kejadian mencuri dua buah bateri kereta yang berjaya dirakam CCTV rumah tersebut menjadi tular di media sosial.

Advertisement

Gambar dan video kejadian berdurasi 45 saat itu dipercayai telah dikongsi dan dimuat naik pengguna sosial media.

Kejadian difahamkan telah berlaku sekitar jam 12.40 tengahari semalam.

Dalam paparan video tersebut, kelihatan dua lelaki menaiki sebuah motorsikal tiba-tiba berhenti di hadapan sebuah rumah.

Salah seorang lelaki itu dilihat kemudian berjalan secara selamba masuk dengan membuka pagar rumah tersebut dan mengambil dua buah bateri kereta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengingatkan orang awam agar tidak memuat naik sebarang insiden kejadian jenayah kerana ia boleh menganggu proses tangkapan.

“Kita tidak mahu suspek melarikan diri apabila melihat video kejadian tular di media sosial,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement