Dua rumah terbakar, 9 orang penghuni terjejas

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mei 9: Sembilan orang penghuni yang menetap di dua buah rumah hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Lorong Harmoni 1C, Tudan, terbakar malam ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu mengakibatkan sebuah rumah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi kira-kira 70 peratus.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, kebakaran tersebut juga menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Saga terbakar 100 peratus.

Jelasnya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 7.31 petang.

“Sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Lopeng kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan api sedang marak membakar dua buah rumah di situ sebelum gerakan memadam kebakaran dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kebakaran tersebut dapat dikawal pada pukul 8.07 malam.

Kerja-kerja overhaul terus dijalankan sehingga api padam sepenuhnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily