Dua RRU diselaraskan semula bagi pastikan hak Sarawak dijaga — Ahmad

Dato Ahmad Ibrahim

KUCHING, 6 Dis: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah memohon untuk menangguhkan Pembacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 pada sidang Dewan Negara pada sesi ini.

Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, ia adalah susulan daripada permohonan kepada Yang di-Pertua Dewan Negara untuk membuat pindaan kepada RUU ini.

Katanya, ia bagi memastikan hak yang sama diberikan kepada Negeri Sarawak seperti yang termaktub di Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990.


“RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2023 dan pada dasarnya kami Ahli Dewan Negara menyokong RUU yang digubal untuk menambah baik kecekepan penggunaan tenaga di Malaysia.

“Namun begitu setelah salinan RUU tersebut diedarkan kepada Ahli Dewan Negara, penelitian kami mendapati bahawa RUU ini membenarkan Menteri NRECC untuk memanjangkan penggunaannya ke atas Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad, tindakan ini adalah tidak selari dengan praktis terdahulu oleh Kerajaan Persekutuan iaitu seperti Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 dimana penggunaannya tertangguh kepada Sarawak.

Oleh kerana terdapat ketidakselarian ini, katanya, Ahli Dewan Negara mewakili Sarawak telah membuat permohonan kepada Yang di-Pertua Dewan Negara untuk mencadangkan pindaan.

“Susulan daripada cadangan pindaan kami ini, hari ini saya menerima makluman daripada Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa kedua-dua RUU ini akan diselaraskan semula melalui libat urus oleh pihak NRECC bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah,” kata Ahmad. — DayakDaily