Dua premis jual alat teknologi penstriman diserbu

Pasukan penguatkuasa melakukan pemeriksaan di premis yang diserbu.

KUCHING, 21 Sept: Dua premis menjual alat teknologi penstriman di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa pada 15 September lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal pihaknya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 11 unit alat teknologi penstriman.


“Turut dirampas ialah dokumen berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya oleh pemilik hakcipta yang membuat aduan kepada kementerian.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis yang terbabit untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. — DayakDaily