Dua perompak kedai serbaneka diburu polis

Kelihatan dua penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang merompak sebuah kedai serbaneka.

SIBU, Okt 2: Polis sedang menjejaki dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka di Jalan Foochow di sini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.35 pagi itu telah mengakibatkan pemilik kedai berkenaan kerugian kira-kira RM2,000.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kedai tersebut mengenalpasti identiti penjenayah terbabit.


Jelasnya, berdasarkan rakaman CCTV juga, kelihatan dua lelaki yang memakai topeng telah memasuki premis perniagaan berkenaan sebelum seorang daripada mereka mengacukan parang ke arah pekerja kedai serbaneka itu.

“Manakala, seorang lagi suspek membuka laci kaunter dan mengambil wang tunai sebanyak RM1,000 yang disimpan dalam laci berkenaan,” katanya hari ini.

Stanley menambah, selain wang tunai, kedua-dua suspek turut melarikan kad tambah nilai telefon bimbit yang bernilah kira-kira RM1,000.

Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya bertindak melarikan diri selepas melakukan jenayah berkenaan.

“Kita juga memohon orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun secara berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya,” katanya lagi. — DayakDaily