Dua penunggang motosikal maut di Serian

Gambar kedua-dua motosikal di lokasi kemalangan.

SERIAN, 31 Mei: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kuching-Serian tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata kedua-dua mangsa ialah lelaki berusia 19 dan 33 tahun dan masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 19 tahun dikatakan melawan arus iaitu sekitar jam 12.25 tengah malam.


“Berdasarkan maklumat daripada saksi bebas, kemlangan dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 19 tahun menunggang motosikal secara melawan arus lalu bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah Kuching.

“Kedua-dua mangsa tercampak dari atas motosikal menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Daerah Serian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Kedua-dua kenderaan terlibat kemalangan juga dibawa dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily