Dua pemain bola dan seorang lelaki sedia jumpa FAS — Peguam bela

Irawan (tiga dari kanan) bersama klien menunjukkan tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral, hari ini.

KUCHING, Feb 22: Barisan peguam bela yang dilantik dua pemain bola sepak Sarawak dan seorang lelaki yang dipercayai ‘bookie’ bersedia mengiringi klien mereka untuk bertemu dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Salah seorang peguam bela tersebut, Irawan Sudarsono memberitahu, pertemuan tersebut adalah untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi klien mereka selepas bebas daripada perintah reman tanpa sebarang pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Menurut Irwan, pertemuan itu kelak hendaklah bersama dua peguam bela lain yang turut dilantik iaitu Ahmad Dzulfadli Abang Hamdan dan Saifunnizam Sam.


“Klien kami telah memberikan kerjasama penuh ketika mereka ditahan reman selama enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jadi, kami berharap pihak berkaitan dapat membersihkan nama, imej serta reputasi mereka sebagai pemain bola sepak profesional dan orang awam,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini hari ini.

Terdahulu, tiga laporan polis berhubung kes itu telah dibuat di Balai Polis Sentral di sini.

DayakDaily semalam melaporkan Mahkamah Majistret di sini telah membebaskan dua pemain bola sepak Sarawak dan seorang lelaki dipercayai ‘bookie’ daripada perintah reman serta tanpa pertuduhan selepas direman enam hari bagi membantu siasatan setelah disyaki terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan Liga Perdana pada Feb 10 lalu.

Majistret Sandy Yvette Freddy membenarkan ketiga-tiga suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM. — DayakDaily