Dua pekerja kedai makan maut dalam kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 3: Dua wanita maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Stutong di sini tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Maria Bujang, 27, dan Anistasia Johea, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja di premis makanan dikatakan dalam perjalanan menuju ke Jalan Stutong di sini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang oleh Maria dikatakan secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan membelok ke kanan.

“Sebuah kereta Toyota Vios yang kebetulan melalui laluan berkenaan kemudian merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

“Kedua-dua mangsa yang tercampak ke atas jalan mengalami kecederaan parah kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

Alexson menambah, pemandu kereta yang berusia 33 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily