Oleh Dean Adam
SIBU, Jan 10: Dua pekerja kapal warga Bangladesh maut selepas dipercayai terhidu gas beracun akibat terperangkap dalam sebuah kapal di sini lewat petang semalam.
Insiden kira-kira pukul 6.25 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Aktar dan Maznu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan semasa kejadian, didapati tujuh orang pekerja kapal sedang membaiki bahagian bawah kapal tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kejadian sama turut mengakibatkan lima mangsa pengsan, namun mereka dilaporkan selamat.
Jelasnya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.28 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati lima pekerja dalam keadaan pengsan, manakala dua lagi masih sedar,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, kesemua mangsa seterusnya dinaikkan ke bahagian atas kapal dengan menggunakan tali dan diberi bantuan pernafasan.
Namun katanya, dua mangsa disahkan meninggal dunia, manakala yang lain selamat.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.
“Punca kejadian berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily