Dua nyaris maut, kenderaan dinaiki terbabas lalu terbalik

Kelihatan sebuah Toyota Hilux yang terbalik.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mac 17: Dua remaja nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Jalan Taman Perindustrian Samalaju di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kepala mereka.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung itu pada pukul 12.28 tengah hari.

Sejurus itu katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Samalaju bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kejadian itu melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux telah hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.

“Kemalangan tersebut melibatkan seorang mangsa remaja lelaki dan seorang remaja perempuan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak meregang bahagian pintu hadapan sebelah kiri untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.49 tengah hari,” katanya. — DayakDaily