BINTULU, Julai 10: Seorang wanita dan kanak-kanak lelaki maut dalam satu kejadian kemalangan kendiri di Jalan Bintulu-Tatau di sini lewat petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti sebagai Munipah Marzuki, 24, dan Mohammad Haiman Abdullah, 2, akibat kecederaan parah pada bahagian kepala mereka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian dua mangsa sedang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Innova bersama tujuh individu lain.
Katanya, Toyota Innova yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dikatakan sedang bergerak ke arah Kampung Jepak menghala ke pusat bandar Bintulu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kemalangan yang menuruni bukit, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit konkrit di bahu jalan berkenaan.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan Munipah tercampak keluar dari kenderaan dan terhantuk di parit simen
“Manakala kanak-kanak malang itu turut cedera di kepalanya akibat terhantuk di dalam kenderaan dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, lima mangsa lain pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, gambar tempat kejadian dan rajah kasar telah diambil dan cuaca baik dan jalan raya kering semasa kejadian.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk siasatan selanjutnya.
“Kes ini masih dalam siasatan dan disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily