Dua maut, seorang parah dalam nahas dua kenderaan

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

MIRI, Julai 21: Dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita maut, manakala seorang lagi lelaki parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Luak Esplanade, Jalan Bakam di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 38, manakala wanita berusia 35.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.48 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Miri kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dan Toyota Hilux yang bertembung.

“Difahamkan Perodua Kancil itu dari arah Miri ke Sungai Rait, manakala Toyota Hilux dari arah bertentangan,” katanya di sini malam ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di lokasi kemalangan.

Law menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dari dalam Perodua Kancil.

Katanya, pemandu Toyota Hilux itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. ā€” DayakDaily