Dua maut dalam nahas di Jalan Ulu Oya di Sibu

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan.
Advertisement

SIBU, 27 Ogos: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Ulu Oya di sini, awal pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.15 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Dalam kenderaan pertama jenis Perodua Axia, seorang lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal di lokasi kejadian, manakala seorang lagi lelaki cedera parah dan seorang lagi wanita cedera ringan.

“Sementara pemandu sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vellfire dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sibu,” katanya.

Setelah mendapati keadaan selamat serta terkawal, anggota berangkat balik ke balai bomba.

Operasi tamat pada jam 3.50 pagi. — DayakDaily

Advertisement